Tuesday, July 13, 2010

Sarimah Masih Ragu

Dua tahun menyendiri mengendalikan jadualnya yang cukup padat, Sarimah Ibrahim kini mampu menghela nafas lega segala perit lelahnya terbalas. Pengacara Biggest Loser Asia ini mengakui rezekinya makin bertambah setelah terlibat dalam program tersebut. Khabarnya juga Sarimah kini sedang dirisik oleh produk penjagaan badan, The Body Shop dan jika benar apa yang ditelah, maka Sarimah akan menjadi selebriti pertama diangkat menjadi duta produk tersebut.

Nyata Biggest Loser Asia memberi impak besar dalam kariernya. Telahpun mendapat kontrak hitam putih untuk musim kedua, namun pengacara berdarah Irish-Melayu ini masih ragu sementelah syarat yang dikenakan menurutnya bakal mengundang reaksi negatif.

"Saya masih pertimbangkan tawaran tersebut. Bukannya tidak mahu namun saya dimestikan memakai pakaian seksi yang pastinya akan menjatuhkan maruah dan karier saya di sini. Saya harus jaga hati peminat kerana budaya kita di sini tak sama dengan pemikiran barat. Kalau mereka boleh bertolak ansur dengan imej yang harus ditonjolkan, mungkin saya akan terima.

"Saya sudah berada dalam industri ini 14 tahun dan saya tak mahu ambil keputusan yang akan disesali kemudian hari. Saya harus jaga reputasi," ujarnya mengakui ada pengacara luar yang menawarkan harga yang rendah dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengemudi Biggest Loser Asia musim akan datang.

Kesungguhan Pikat Hati Sarimah

Biarpun di bahunya tergalas tanggungjawab yang cukup berat, duta produk Reebok dan Equal ini mengakui hatinya tidak pernah mengenal erti penat mencari cinta yang telah hilang sejak perceraiannya bersama Amir Andrew Abdullah. Masih dalam proses mengenali hati budi, Sarimah akhirnya akur dengan kesungguhan jejaka kacukan tersebut memikat hatinya.

"Saya mengenalinya hampir lapan tahun namun baru sekarang dia tunjukkan rasa cinta. Susah untuk menerima seseorang lebih-lebih lagi bila kita pernah melalui fasa perceraian. Saya takut disakiti. Saya masih cuba mengenalinya dan risau juga sebab dia terlalu kacak (ketawa).

"Bila bercinta saya nak pasangan selalu ada bersama tak kira masa dan mungkin akan menakutkannya. Saya perlukan pasangan selalu telefon dan datang bertemu, bukan sekadar SMS bertanya khabar. Cara dia memikat dan kesungguhannya telah mencairkan hati saya," katanya mengimpikan perkahwinan besar-besaran sekiranya apa yang dirancang direstui tuhan.

Sumber – Mangga Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...