Monday, July 12, 2010

Alyah Makin Selesa

Sepuluh tahun lalu, tiada siapa menyangka wanita bernama Noor Hasliah Abu Hassan ini bakal mewarnai industri hiburan dengan aura tersendiri. Namanya yang terpahat ketika menjuarai Bintang HMI terbitan RTM pada 2000 tidak berjaya membangkitkan personanya. Namun perlahan-lahan Alyah mengorak langkah dan hanya selepas lapan tahun berhempas pulas, barulah perhatian ditumpukan kepadanya. Tak Mungkin Kerana Sayang membawa tuah kepadanya.

Makin selesa dengan karier yang semakin teratur dan langkah yang lebih yakin, Alyah semakin berani bereksperimen dengan imejnya. Berinspirasikan gaya rambut Rihanna, Alyah nekad mengubah penampilannya dan hasilnya cukup menakjubkan.

"Tak dinafikan orang mula mengenali siapa Alyah lebih-lebih lagi bila muncul dengan imej sebegini. Apa yang Alyah cari selama ini sudah pun ditemui dan imej ini berjaya mengangkat nama Alyah di persada seni. Kalau boleh Alyah nak terus kekal dengan imej sebegini sebab sudah selesa dengannya.

"Namun kalau terus imej begini orang akan bosan. Alyah cuba untuk mengikuti perkembangan dan fesyen semasa so tak adalah nampak ketinggalan zaman. Mungkin imej akan berubah setiap kali muncul dengan album terbaru," ujarnya yang terpilih bersama Farhan menyerikan Konsert Simfoni Amal Diraja - Harmoni Itu Indah yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 2 Oktober ini.

Khidmat Pengurus Baru

Percaturannya mengambil pengurus mengatur segala perjalanan seni juga dilihat sebagai langkah bijak dalam mewarnai kerjaya seninya. Jika sebelum ini segala perancangan dilakukan sendiri dan mengakui ada kalanya banyak peluang keemasan terlepas dari genggaman gara-gara kesibukan.

"Alyah baru gunakan khidmat Sam Kassim dan syukur perjalanan seni Alyah kini lebih teratur. Lebih banyak peluang yang masuk antaranya Alyah bakal menyumbangkan suara untuk filem Ice Age 3 dalam bahasa Melayu. Peluang yang tak pernah Alyah terfikir selama ini terhidang di depan mata sekarang.

"Alyah nak pastikan kerjaya makin memuncak. Tapi untuk lakonan mungkin belum lagi sebab Alyah nak lakukan sesuatu sebab minat, bukannya sekadar mencuba. Biarlah Alyah buat apa yang mahir iaitu menyanyi," katanya bakal muncul dengan album terbaru berkonsepkan pop rock selepas raya.

Sumber – Mangga Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...