Sunday, July 4, 2010

Dottie Tak Hina Orang Gemuk

Pembikinannya bukanlah untuk merendah-rendahkan mereka, jauh sekali menjadikan mereka sebagai bahan ketawa. Siapa kata orang bertubuh gempal tidak boleh berjaya? Itulah yang akan diperlihatkan dalam drama terbaru Astro Megadrama, Dottie. Apa yang penting adalah keyakinan untuk membuktikan tubuh badan bukanlah penghalang untuk berjaya.


"Dottie tak mempermainkan kekurangan orang lain. Sebaliknya kami jadikan Dottie sebagai inspirasi untuk mereka yang berbadan besar untuk tonjolkan keyakinan dan ukuran badan bukanlah penentu kejayaan. Di samping itu juga, mereka yang lain boleh dalami perasaan mereka yang bertubuh gempal agar tidak mudah mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan golongan ini.

"Kami tidak sekali-kali menjadikan mereka sebagai bahan ketawa. Pastinya mereka yang bertubuh gempal akan punyai keyakinan diri yang lebih tinggi selepas menonton Dottie kerana kami mempertaruhkan watak yang wujud dalam masyarakat tetapi kadang kala kurang diberi perhatian kerana rupa paras dan fizikal. Kami cuba berikan motivasi menerusi Dottie dan pastinya penonton akan terpikat dengan perwatakannya yang sangat comel," ujar Ghaz Abu Bakar selaku pengarah pertama drama Dottie.

Dottie Cermin Nor Syuhaida

Berlinang air mata anak kelahiran Taiping ini tika menceritakan pengalamannya dikutuk kerana penampilan yang bertubuh gempal. Dottie adalah pengalaman pertamanya dan Nor Syuhaida merasakan peluang yang bergolek bersesuaian dengan karekter dirinya.

"Dottie seolah-olah cermin kepada diri saya. Saya nak buktikan orang berbadan besar juga boleh berjaya lebih-lebih lagi dalam industri hiburan. Satu peluang yang tak disangka-sangka datang apabila saya mendapat tahu ada ujibakat untuk mencari pelakon wanita yang chubby kerana selalunya mereka inginkan yang berpesonaliti menarik. Saya datang dari Taiping untuk mencuba dan syukur berjaya.

"Dalam kehidupan saya sendiri, memang selalu kena kutuk. Kalau ke butik membeli pakaian, selalunya jurujual akan pandang sinis kepada saya lebih-lebih lagi bila saya ingin mencuba pakaian yang dikatakan tidak sesuai dengan siza badan saya. Kawan-kawan juga panggil saya SG untuk Syuhaida Gemuk. Kadang kadang level confident kita sudah tinggi, tapi bila orang selalu ketawakan dan kutuk, serta merta saya jadi lemah semangat," ujarnya yang cukup mudah tersentuh menceritakan pengalaman peribadinya menjadi remaja gempal.

Dottie mengisahkan seorang gadis comel yang berkeyakinan tinggi mengejar impian dan cita-cita menjadi hos rancangan TV. Dottie cuba mengikis tanggapan stereotaip masyarakat yang sering berpendapat bahawa bentuk fizikal menjadi sandaran kejayaan seseorang individu. Demi mengejar cita-citanya, Dottie ketepikan perasaan malu dan sentiasa bersabar untuk mengejar impiannya. Saksikan Dottie bermula 5 Julai 2010, jam 10.00 malam hanya di Astro Ria.

Sumber – Mangga Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...