Sunday, July 18, 2010

Kahwin sebelum 30

BELUM terlewat untuk menggelarkan dia sebagai bunga yang sedang mekar. Harum kelopaknya belum pudar manakala kembangnya masih berseri. Dia si pelantun Bunga-Bunga Cinta yang sehingga hari ini masih menunggu kumbang setiawan menjamah emosi yang dalam.

Mendahului sifat keibuan berbanding 'keremajaan' seorang perempuan, Misha sebenarnya sudah lama dihujani persoalkan tentang cinta dan pernikahan.

Sejak mengambil Adam Muhammad Adam Emie sebagai anak angkatnya, malah sampai hari ini, soalan yang sama itu semakin menghampiri tarikh akhir yang ditetapkannya sendiri.

"Rasanya usia 28, 29 dan 30 adalah usia yang paling sesuai untuk wanita zaman ini menamatkan zaman solo, bukan lagi 25 tahun seperti dulu-dulu.

"Sekarang umur saya sudah 28 tahun, mungkin sebelum usia 30 tahun, saat itu (perkahwinan) akan tiba untuk saya," desisnya membuka gambaran sekeping hati.

Sedang enak menggauli rasa dan dilema cinta si Dara dan Uda di Panggung Sari, Istana Budaya, wanita yang tergolong dalam kategori anak dara itu dirisik lagi hati budinya.

Biarpun berbunyi seperti klise, akui Misha, selagi hidup belum bersuami soalan 'wajib' itu ditelannya setiap waktu.

Dara

Pernah tanpa ribut atau angin lintang, dia ditohmah berkahwin dengan hartawan muda dan hidup bermadu kasih. Itu semua karut dan jauh menyimpang daripada kebenaran.

Sesekali, menyelinap jua satu pertanyaan, adakah penyanyi tersohor itu gusar terhadap status isteri akan mengalih perhatian peminatnya sekali gus menamatkan tempoh kembang mekar dipuja ramai.

"Saya tidak pernah tolak untuk berkasih-kasihan, saya juga tidak tolak untuk ke jinjang ke pelamin, saya sudah beberapa kali mencuba tetapi jodoh belum tiba.

"Akhirnya, saya memilih untuk tidak terlalu berharap. Tidak guna untuk mendesak diri membuat keputusan demi kesenangan hati pihak lain.

"Saya teringin mahu akhiri hubungan cinta dengan baik tetapi masih menunggu dan cuma berserah dengan kesediaan sendiri.

"Sebabnya saya ini seorang yang banyak keraguan," ujarnya seperti sudah menemui calon yang sedang diperincikan segenap segi.

Paling penting kata Misha, bukan tekadnya mahu mempertahankan 'kerusi dara' pujaan selama-lamanya. Masa itu akan tiba, cuma bukan sekarang.

Bicara cinta pemilik vokal gemeresik itu sesekali dilingkari semangat cinta si Dara pujaan yang beraja di hati sang Uda, handalan jiwa.

Sejenak tenggelam daripada alam realiti, keterujaan Misha tiada lain selain meresapi roh dan emosi Dara, watak pencinta agung yang dizahirkan sasterawan terulung, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang menerusi naskhah Uda dan Dara yang kini dipersembahkan buat kali pertama di Istana Budaya.

Cinta Razali

USIA 28 tahun yang sedang diladeni ketika ini membuatkan Misha positif dengan bicara alam berumah tangga. Dia menetapkan zaman solonya bakal berakhir sebelum angka 30 hadir ke laman hidupnya.

Di pentas teater, bakat itu sesuatu yang subjektif tetapi lebih mahal lagi adalah keberanian serta kesungguhan penyanyi itu melangkah ke sebuah dunia yang terlalu asing buat dirinya.

Antara Misha dan Dara, mereka berbeza secara total. Dara gadis berusia 16 tahun yang sempurna segala sifat kewanitaan, sangat manja dan mengasihi Uda sedangkan Misha seorang yang bersahaja dan tidak terlalu feminin.

Kata Misha, dalam tempoh dua minggu pertama latihan, dia berdepan konflik, adakah itu salah percaturannya atau salah pihak produksi kerana memilih pelakon yang salah.

Dia buntu kerana tidak memahami budaya teater dan menganggap dirinya umpama beban yang menyusahkan hidup semua pihak termasuk pengarahnya, Datuk Rahim Razali.

"Sampailah satu peringkat, saya tidak mahu ditemani pengurus ketika ke latihan sebab jika dia ada bersama, saya masih merasakan diri saya masih Misha Omar, bukannya Dara. Jadi, saya sanggup memandu sendiri untuk ke sesi latihan.

"Saya buat keputusan untuk berada di sisi Razali (pemegang watak Uda) sepanjang masa, kami makan dan minum bersama.

"Membahasakan diri sebagai Uda dan Dara dan bercakap dalam lenggok bahasa klasik. Saya buat semua itu semata-maya tidak mahu nampak kekok atas pentas," ucapnya tanpa ragu.

Keintiman yang dicipta untuk keserasian belahan jiwa antara Misha dan Razali Hussain tidak habis di pentas latihan. Keintiman tonggak utama itu mengundang salah faham kononnya mereka menjalin cinta sepanjang di lokasi.

"Mulanya saya tidak faham kenapa Razali merenung saya sebegitu rupa, tapi lama-lama saya faham, itu renungan Uda untuk Dara.

"Perasaan yang tumbuh antara saya dan Razali bukan cinta kami berdua tetapi cinta Uda dan Dara.

"Ini kali pertama saya berkenalan dan berkerjasama dengan Razali, mulanya memang kekok dan sangat janggal tetapi dia sangat sabar dan komited.

"Kalaulah saya di tempat Razali, senang-senang sahaja saya akan anggap Misha Omar itu berlagak diva, tetapi Razali tidak begitu," bergunung pujinya terhadap pelakon yang lahir daripada program Audition itu.

MEWARISI cinta dan emosi Dara daripada naskhah asal nukilan Sasterawan Negara Usman Awang, Misha membuang segala ego, segala sifat semula jadi juga harus ditenggelamkan, yang timbul untuk disaksikan semua hanyalah Dara, dara pujaan si Uda yang menjadi lambang cinta tragis kepada semua.

Tambah Misha: "Dalam babak tarian, Razali minta izin untuk memegang saya. Perasaan saya berdebar-debar tetapi lama-kelamaan saya sedar itulah tuntutan sebuah lakonan.

"Saya kena berkompromi untuk buka diri ke ruang lakonan yang lebih besar. Dalam naskhah ini, Dara versi Misha Omar bukan dara yang konvensional tetapi berani menurut kata hati, berani menyerahkan tubuhnya demi janji setia untuk Uda. Itulah cabaran besar buat saya."

Bermula dengan teater kanak-kanak berjudul Muzikal Gamat, Misha melangkah berani menyahut panggilan ratu panggung di tangan Rahim Razali dalam Muzikal Uda & Dara.

Naskhah akan datang, satu lagi peluang teater diraih Misha menerusi Muzikal Tun Mahathir, pada September nanti.

"Saya serius mahu jadi anak seni. Saya faham apa maknanya nyanyian. Berlakon teater memberi kefahaman kepada saya tentang selok-belok lakonan.

"Dalam teater, semuanya kena beria-ia dan ekspresi yang besar sebab pelakon harus beri nikmat pentas yang besar itu kepada penonton," jelas Misha melontarkan pemahaman yang sudah tertanam di dadanya.

Selain merelakan diri dikepung jadual persembahan yang menuntut rejim latihan intensif, ada satu lagi syarat yang dikenakan pihak produksi terhadap Misha.

Demi karya muzikal yang berbaki persembahan sehingga Selasa nanti, Misha kini bebas daripada ikatan pendakap gigi yang menjadi rutin sehariannya sejak empat tahun lepas.

Aksesori di wajahnya itu ditanggalkan beberapa hari sebelum persembahan bermula 10 Julai lalu dan hasilnya, memberangsangkan.

Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu semakin manis melemparkan senyuman malah sudah berani bergincu merah menyala.

Sumber - Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...