Friday, July 23, 2010

Hanya Anna isteri Saiful

AWAL-AWAL lagi, dia tahu, usai diijab kabul dengan Datuk Saiful Bahar Datuk Mohd. Arshad, 44, kehidupan dijalani bermula detik itu pasti berubah. Ia berlaku sekelip mata. Selain bergelar isteri lalu memaku diri pada tiang kekeluargaan, mahu atau tidak, Annahita Bakavoli Mehdi Bakavoli, 28, kini harus menyesuaikan diri dengan pangkal nama baru - Datin.

Tidak pernah terlintas di laut fikirannya untuk meraih gelaran itu, pelakon, hos dan model lebih mesra disapa Anna yang baru membentuk ikatan pernikahan dengan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar itu bagaimanapun menganggap status bukan penghalang untuk menjadi sebenar dirinya.

Dalam kenyataan wanita berdarah kacukan Melayu-Parsi itu kepada media sebelum ini, biarpun sudah menjadi Datin, dia masih Anna sama seperti keluarga, teman-teman baik dan orang sekeliling terbiasa mengenalinya.

"Sejujurnya, tiada perbezaan saya sebelum dan selepas berkahwin. Saya seperti dulu juga. Kepada yang telah lama kenal, panggil saja Anna. Jangankan kerana nama baru ini, ia boleh merenggangkan hubungan saya dengan kawan-kawan dan para wartawan," jelas Anna yang selama ini terkenal sebagai pendukung personaliti rendah diri dan mudah mesra.

Menyambung bicara, pelakon yang pernah mewarnakan sitkom rantaian, Spanar Jaya beberapa tahun lalu tidak berhasrat mengucap selamat tinggal kepada dunia seni cukup dicintainya. Sudah melangkah ke daerah asal penyatuan cinta, bukan bermakna dia juga harus mematikan langkah dalam bisnes hiburan.

"Saya merupakan individu gemarkan cabaran. Selepas puas berlakon, saya mula menceburi dunia penyiaran sejak beberapa bulan lalu. Saya minat jadi wartawan penyiaran sebab skop kerja ini memunculkan ujian baru hampir setiap hari. Ia mampu menjadikan saya kreatif ditambah kena tahu perkembangan semasa baik dalam dan luar negeri.

"Buat masa ini, saya ingin cuti sementara berlakon kerana kerjaya ini menuntut waktu panjang di lokasi penggambaran. Tetapi, saya akan terus buat bidang peragaan jika ia tidak mengganggu tugas di stesen televisyen di Media Prima. Cukup bersyukur kerana suami beri kebenaran untuk saya lakukan perkara disukai," ujar Anna yang memahat profil seni selepas ditauliahkan sebagai Dewi Remaja 2003-2003.

Dengan satu nafas, dia selamat diijab kabul dengan Saiful di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada 10 Julai lalu. Disatukan oleh jurunikah kawasan Shah Alam, Khairudin Hayon selepas sembahyang Asar, Anna menerima wang hantaran berjumlah RM21,212,12 dan mas kahwin sebanyak RM2,000 dengan lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Turut hadir pada majlis pernikahan itu ialah adinda Sultan Selangor, Tengku Panglima Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, ahli keluarga terdekat dan sahabat rapat.

Tidak ketinggalan, pasangan itu merealisasikan resepsi persandingan dengan bertemakan rona hitam, putih dan emas di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Bukit Kiara, Kuala Lumpur (KLGCC) pada 16 Julai lalu.

Selepas upacara berkenaan, Anna dan Saiful segera berangkat ke kota London selama 10 hari sehingga 28 Julai ini untuk berbulan madu. Difahamkan, mereka ingin mengabadikan momen bersama sambil melawat beberapa destinasi menarik seperti Stratford Upon Avon, Lake District, Manchester, Oxford dan Cambridge.

Perkenalan singkat


Memutar kembali titik awal semaraknya awan cinta mereka, Anna memberitahu, dia mengenali Saiful pada Januari lalu. Semua berlaku sesingkat mungkin tanpa masing-masing mampu menduga akan mendaki setinggi ini.

Bersedia menamatkan fasa anak dara dan bergelar ibu pada umur sekarang, usia kurang setahun perkenalan dan belum puas menterjemah bait-bait cinta tidak memagar diri Anna daripada menerima Saiful sebagai sang suami.

"Saya kenal dia awal tahun ini. Kami berkawan dulu sambil mendalami hati budi masing-masing. Sebenarnya, tiga bulan sebelum bernikah, baru kami betul-betul rapat. Yang buat saya terima Saiful kerana dia ada ciri-ciri lelaki dicari seperti penyayang, memahami dan kelakar.

"Kami lekas serasi ditambah Saiful seorang lelaki yang bijak sehingga kami boleh bertukar cerita sesama sendiri. Tidak dinafikan, hidup bujang agak menyeronokkan meskipun saya sedar perkahwinan dapat melengkapi hidup manusia.

"Cuma tidak sangka, Saiful hadir dan hubungan kami terjalin dalam waktu singkat. Alhamdulillah, jodoh kami dipercepatkan oleh Allah. Tidak perlu sampai kami kena bercinta lama," jelas Annahita yang tidak sabar lagi menantikan kehadiran cahaya mata.

Diminta membahas keistimewaan wanita yang dinikahinya, Saiful tidak mengambil nafas panjang untuk menjelaskan keperibadian Anna. Satu persatu dilontarkan tanda kedekatannya dengan si isteri telah bersimpul dalam hati sejak awal mereka mematri cinta.

"Walaupun Anna adalah artis dikenali ramai, cantik dan pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja, secara realiti dan selepas diamati lebih rapat, dia sebenarnya wanita sarat sikap merendah diri, baik hati dan pandai mengambil orang tua terutama ibu bapa saya.

"Pada mata saya, Anna sangat istimewa. Tidak ketinggalan, ingin dijelaskan di sini, dia satu-satunya isteri saya. Siapa saya atau kehidupan sebelum ini, biarlah ia tersimpan dalam lipatan kenangan. Apa dimahukan sekarang, tidak lain hanya kebahagiaan kami dan rumah tangga baru dibina ini kekal sampai akhir hayat," luah Saiful seraya menoktahkan cakap-cakap kurang enak sebilangan masyarakat sebelum ini tentang status dirinya menjelang hari bahagia dengan Anna.

Sumber - Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...