Thursday, July 15, 2010

Bebas berkawan

AIZAT bagaikan sudah tidak peduli apa pun orang nak kata mengenai hubungannya dengan Liyana Jasmay.

Baginya dia sudah tidak ada masa untuk terus melayan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak dengan jawapan dan penjelasannya mengenai hubungan persahabatan dia dengan Liyana.

 “Apabila ada yang tanya pasal hal ini, jawapan saya tetap sama. Saya dan dia (Liyana) bebas berkawan dengan siapa pun. Masing-masing ada kehidupan sendiri. Tidak ada apa yang hendak disembunyikan atau cover line kerana kami tidak pernah cakap apa-apa pun, selain sebagai kawan,” katanya ketika ditemu bual selepas majlis pelancaran album terbarunya berjudul Urusan Aizat Amdan baru-baru ini.

Anak muda berusia 21 tahun ini jelas tenang saja apabila diasak berulang kali mengenai hubungan peribadi dengan pelakon dan penyanyi muda itu.

Katanya, pada usianya sekarang, dia mahu memberi tumpuan pada kerjanya dalam bidang seni bukan dengan menghabiskan masa membesar-besarkan gosip peribadi yang mungkin boleh mengganggu kelancarannya sebagai penyanyi dan komposer.
Aizat kini boleh senyum bangga kerana dapat menyiapkan album terbaru Urusan Aizat Amdan yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan milik keluarganya, Kasi Gegar Entertaiment (KGE). Projek untuk menerbitkan album ini dimulakan sejak tiga tahun lalu.
Album ketiga itu juga muncul selepas hadirnya album sulung Percubaan Pertama dan versi pembungkusan semula (daripada album sulungnya). Menariknya album terbabit turut mendapat kerjasama dengan syarikat portal hiburan, Erama untuk pasaran digital. Sebanyak 5,000 keping album fizikal sudah dicetak dan dijual. Paling menarik idea kreatif penghasilan kulit album ini iaitu berbentuk sampul surat rasmi ternyata memberi kelainan.

“Saya terharu dan sebak melihat kepada hasil akhir album ini terutamanya kulit album. Harap album yang memuatkan tujuh lagi ini akan mendapat sokongan daripada peminat dan membeli album yang asli. Paling istimewa pembeli album ini layak menyertai Peraduan Mencipta Gaya Aizat dan berpeluang memenangi iPAD 32GB. Terima kasih juga kepada Erama kerana sudi bekerjasama,” katanya.

Aizat menjelaskan dia tidak membataskan muziknya kepada satu genre kerana mahu berkreativiti tanpa had dan batasan tertentu. Kesimpulannya, Aizat mengakui sangat berpuas hati dengan pembikinan album terbarunya ini.

“Sebagai percubaan dimuatkan dua lagu Inggeris iaitu Emotions dan Years From Now. Dua lagu ini sudah dalam simpanan abang saya, Anas sejak dua tahun lalu. Ada juga yang asalnya dalam lirik Inggeris tetapi ditukar dalam bahasa Melayu dan begitulah sebaliknya.

“Lagu Sungai Lui dijangka bakal menjadi lagu tema filem animasi muzikal, Firefly. Ada lebih 100 karakter dalam filem ini dan saya difahamkan seorang pengarah bakal memikul tanggungjawab merealisasikan filem ini. Ia mengenai battle of the band. Saya berkemungkinan menyumbangkan suara untuk filem ini.

“Insya-Allah, siri jelajah mempromosikan album ini akan diadakan selepas raya nanti membabitkan seluruh negara. Kami juga merancang untuk mempromosikannya di Brunei, Singapura dan Indonesia. Dalam setiap persembahan juga, saya akan tampil dengan band sendiri seperti yang dilakukan John Mayer dan Jason Mraz,” katanya sambil memberitahu lagu Erti Hidup Ini yang dimuatkan dalam album terbarunya turut dijadikan lagu untuk kempen Bebaskan Bumi Palestin (BBP).

Bangga pencapaian anak


Bapa Aizat, Datuk Amdan Mat Din rasa bangga terhadap pencapaian anaknya itu. Beliau berharap kejayaan yang dikecapi Aizat itu bukan untuk tempoh sementara dan hanya disebabkan glamour semata-mata. Sebaliknya, belai memang yakin bakat seni anaknya itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Mengenai sikap Aizat yang kononnya sombong terutama selepas fizikal badannya yang dulu gempal menjadi kurus, Amdan menjelaskan anaknya itu masih terlalu muda dalam sesetengah aspek dan memerlukan bimbingan.

Katanya, ia seperti satu proses kehidupan yang sering mengajar kita mengenai erti kedewasaan dan pengalaman.

“Sesiapapun yang mungkin berjaya mengurangkan berat badan seperti dia, akan rasa bangga. Iyalah, kalau dulu sewaktu berbadan gempal, tiada orang yang suka. Tapi perasaan berbeza apabila dia kurus dan perhatian mula diberi kepadanya. Contoh ini boleh dirujuk kepada hubungannya dengan Liyana serta kejayaan yang dikecapinya.

“Aizat masih muda lagi. Sebagai anak muda, dia bebas bergaul dengan ramai orang. Saya pun tak nak dia kahwin dalam usia muda. Umur 30 tahun mungkin paling sesuai baginya mempertimbangkan soal kahwin,” katanya.

Dalam pada itu, Amdan sempat diusik benarkah Aizat sedang kecewa dek gosip yang melandanya dengan Liyana? Pintasnya, anak yang popular dengan lagu Pergi dan Hanya Kau Yang Mampu itu dilihatnya masih okey.

“Kalau betul anaknya itu kecewa sekalipun, kalau dia pandai simpan syukurlah,” celahnya ringkas.

Sumber – BeritaHarian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...