Saturday, July 17, 2010

Rahim, Razali kecewa


LAIN pelakon, lain watak impian mereka. Mungkin ada sesetengah daripada mereka menginginkan watak yang agak kontroversi demi menaikkan nama mereka dalam industri filem.

Watak kontroversi pada kebiasaannya akan memberikan publisiti yang meluas kepada pelakon itu sendiri tambahan pula cerita yang mereka bawakan itu menjadi perbualan ramai orang.

Bagi pelakon yang dahulunya merupakan penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Bunga Bunga Cinta, Misha Omar, dia telah menangis bila mendapat tahu watak Dara dalam pementasan teater muzikal Uda dan Dara perlu melakonkan adegan yang disifatkannya sebagai agak keterlaluan.

Terdapat satu adegan seakan Dara sedang bercumbu dengan Uda (lakonan Razali Hussain). Dalam adegan itu Dara ditindih tetapi tidak sehingga bersentuhan oleh Uda untuk menggambarkan yang mereka sedang bermesra.

"Misha menangis kerana perlu lakukan adegan melampau itu. Namun, saya menganggap babak itu sebagai tuntutan cerita dan saya perlu lakukannya.

"Memang malu tetapi saya menganggap ketika membawa watak Dara adalah Dara kerana watak Dara sangat berbeza dengan Misha Omar.

"Ketika melakonkan watak Dara saya meletakkan 100 peratus diri Dara dalam saya dan bukan Misha," tuturnya ketika ditemui selepas tayangan persembahan kepada media di Istana Budaya baru-baru ini.

SEBELUM mampu beraksi romantis di pentas teater Uda dan Dara, Razali dan Misha terlebih dahulu menghabiskan banyak masa bersama demi mendalami karakter lakonan mereka ini.

Jelas pemilik nama sebenar Samihah@Aisah Omar itu, watak Dara merupakan seorang yang bersifat manja apabila bersama Uda.

"Bagi menghidupkan watak itu dengan baik saya perlu mempunyai keserasian dengan Razali. Pada awalnya saya sukar juga nak berlakon dengan Razali.

"Dengan nasihat rakan-rakan saya meluangkan masa bersama Razali. Kami menghabiskan masa dengan makan bersama-sama dan banyak berbual untuk lebih mendalami watak lakonan kami itu," jelasnya.

Mengulas mengenai latihan yang dilakukan untuk pementasan itu yang memakan masa kira-kira sebulan, menurutnya, dua minggu pertama dia seakan hilang arah, tetapi selepas mendapat sokongan dari rakan-rakan berjaya untuk memahami watak dan lakonannya itu.

Sakik tekak

Dalam pada itu, sakit tekak menjadi punca utama Razali Hussain gagal untuk menyanyi sendiri setiap lagu yang sepatutnya didendangkan watak Uda dalam pementasan tersebut. Menurut Razali, dia menerima tawaran berlakon Uda dan Dara disebabkan ia merupakan teater muzikal.

Katanya, dia sememangnya sangat teringin untuk menyanyi secara langsung di atas pentas Istana Budaya itu, namun atas nasihat doktor dia tidak boleh menyanyi kerana boleh menyebabkan penyakit itu lebih teruk.

"Bila menyanyi saya mungkin saya akan terbatuk-batuk. Sakit tekak itu juga secara tidak langsung turut mengganggu konsentrasinya pada pementasan itu," katanya.

SEBUAH pementasan yang sarat dengan dengan lagu dan tarian zaman silam.

Akibat dari masalah itu, setiap lagu yang sepatutnya dinyanyikan oleh Razali telah dinyanyikan pengarah muzik Uda dan Dara sendiri iaitu Hafiz Askiak.

Menerusi teater muzikal yang dipentaskan sehingga 20 Julai itu, Razali sepatutnya menyanyikan sebuah lagu secara solo dan tiga lagu duet.

Uda dan Dara yang merupakan karya agung Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang itu adalah drama muzikal yang pada zahirnya sebuah kisah cinta antara dua sejoli bernama Uda dan Dara.

Namun, cerita klasik itu sebenarnya memaparkan etika moral dan penghidupan berbeza antara buruk dan baik.

MISHA memberi sepenuh jiwa dan raga demi menjayakan watak Dara.

Sementara itu pengarah Uda dan Dara, Datuk Rahim Razali menjelaskan, respons yang pihaknya terima sepanjang tiga hari pementasan itu dianggap sebagai boleh tahan.

Katanya lagi, walaupun belum berpuas hati sepenuhnya dengan sambutan dan persembahan beliau percaya prestasi persembahan itu akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Pada kebiasaannya persembahan teater memang kurang orang sedikit pada Ahad dan Isnin. Selepas dari hari itu bilangan penonton akan bertambah.

"Saya harap Uda dan Dara juga akan mengalami nasib yang sama seperti itu," ujarnya.

AKSI yang seakan bercumbu inilah yang disifatkan Misha sebagai babak melampau yang terpaksa dilakonkannya bersama Razali demi menghidupkan pementasan Uda dan Dara.

Tambah Rahim, semua pelakon telah memberikan komitmen yang sangat baik dari awal lagi.

Bagi dirinya, watak Uda memang sesuai dengan Razali.

"Razali adalah Uda yang saya cari dari segi keterampilannya. Sesuai dengan Uda pada zaman itu. Tetapi saya kecewa sedikit sebab Razali tidak boleh menyanyi kerana mengalami sakit tekak. Saya harap penyakitnya itu cepat sembuh agar dia boleh menyanyi secara langsung," tambahnya.

Sumber – Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...