Sunday, November 14, 2010

Maruah Raja Farah, suami tercabar

Siapa yang tidak tersentak jika keperibadian bakal isteri diperkatakan oleh pihak lain secara negatif. Sementelah ia melibatkan maruah isteri, keluarga dan dirinya sendiri.

Suami kepada pelakon filem Haq, Raja Farah Raja Aziz, iaitu Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 25, mengakui dirinya berasa tertekan apabila isterinya itu dikatakan sedang mengandung, biarpun mereka baru sahaja menjalani akad nikah, semalam.

Pada sidang media yang diadakan usai majlis pernikahan mereka yang berlangsung penuh harmoni di Tropica Residence, Bukit Jelutong, Selangor itu, Megat Bashirun meluahkan perasaannya dengan menuturkan: “Walaupun gosip tersebut bukan terkena pada dirinya (tidak benar) tetapi saya sebagai bakal suaminya ketika itu turut terkena tempias daripada isu itu.”

Tambahnya: “Perkara ini juga bukan hanya dirasai kami malahan turut melibatkan maruah keluarga.”

Raja Farah yang berada di samping Megat Bashirun sambil memegang erat tangan lelaki yang kini bergelar suaminya itu turut mengiakannya. “Saya hampir lemah dan berputus asa ketika mendapat tahu tentang gosip saya hamil sebelum bernikah itu,” akuinya.

Tambahnya: “Namun, atas nasihat dan dorongan daripada suami, Farah harungi semua dugaan tersebut.”

Menurut anak ketiga daripada empat adik-beradik itu, dia akan membuktikan kebenarannya suatu hari nanti.

“Kepada yang membuat fitnah itu saya ucapkan tahniah kerana mereka telah berjaya membuat satu berita yang tidak benar.

“Kalau nak diikutkan saya dah malas nak komen pasal hal ini lagi sebenarnya,” katanya.

Tradisi keluarga

Dalam pada itu menurut Raja Farah, 22, walaupun jangka hayat perkenalan mereka suami isteri baru menjangkau usia lapan bulan, dia sememangnya sudah bersedia untuk bergelar isteri.

“Kalau nak diikutkan memang saya masih muda untuk mendirikan rumah tangga tetapi sudah menjadi tradisi keluarga kami berkahwin awal.

“Bagi saya, Megat mempunyai ciri-ciri seorang suami seperti sifat seorang ketua keluarga, pegangan agama yang membuatkan dia istimewa dan saya bersedia menjadi isterinya,” katanya yang akan kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri Kau dan Aku musim kedua pada keesokan hari.


Tambahnya: “Sebelum ini kami memang ada bincang pasal mendirikan rumah tangga tetapi kami simpan (untuk pengetahuan kami) sahaja sehinggalah pihak keluarga sebelah lelaki mencadangkan.”

“Memandangkan hubungan kami pun semakin rapat dan atas cadangan keluarga kami menerimanya,” ungkapnya.

Bagi Megat yang merupakan seorang usahawan pula, dia mengaku hatinya terpaut dengan Raja Farah kerana pelakon itu mempunyai wajah yang comel.

“Antara perkara lain yang membuatkan saya terpikat dengan Raja Farah ialah kerana perwatakan dan keceriaan yang dimilikinya,” jelasnya yang berjaya menghafaz akad nikah sekali sahaja.

Tambahnya, dia tidak mengalami kesukaran ketika memikat hati Raja Farah kerana mereka telah mempunyai keserasian sebelum itu.

“Agak mudah untuk melamar Raja Farah ketika itu mungkin kerana saya ikhlas,” tuturnya yang memberi mas kahwin berjumlah RM888 kepada isteri.

Menurut Megat Bashirun, dia memilih angka 888 kerana isterinya dilahirkan pada tahun 1988.

“Saya mengambil jumlah mas kahwin itu dari angka tersebut agar sama dengan tahun kelahiran isteri,” ujarnya.

Sumber - Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...