Friday, November 5, 2010

Aaron, Suhaillah dicabar

Berlakon sambil berdialog mungkin mudah bagi seseorang pelakon berpengalaman kerana mereka boleh membuat persediaan dengan menghafal skrip dan berlatih bersama pelakon-pelakon yang lain.

Namun sebaliknya pula yang harus diharungi aktor kelahiran Singapura, Aaron Aziz selaku pemegang watak utama filem 2 Alam.

Menurut Aaron, menerusi filem terbitan syarikat milik Datuk Dr. Che Rozmey Che Din atau Dr. Rozmey itu, dia hanya berdialog untuk kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan babak lakonannya.

“Bagi saya, perbezaan ketika berlakon dalam 2 Alam dan filem lain ialah kerana saya tidak menggunakan kuasa langsung.

“Saya cuma memberi tenaga kepada penonton melalui mood cerita ini kerana saya sebenarnya tidak banyak dialog ” beritahunya ketika sesi temu bual bersama Kosmo! di The Curve Damansara baru baru ini.

Tambah Aaron, pada mulanya dia tidak berapa memahami watak yang perlu dilakonkan, namun selepas penggambaran bermula, dia semakin mengerti karakter ustaz yang dipegangnya.

“Apa yang saya buat sebagai persediaan ialah bila sampai di set penggambaran saya sudah tahu apa babak yang akan saya lakonkan dan ketika itulah saya bersedia.

“Jika kita mempunyai dialog mungkin kita boleh membuat persiapan dengan berlatih bersama pelakon lain. Tapi kalau berlakon tanpa dialog, segala persiapan lakonan ada pada diri kita sendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, cabaran ketika berlakon dalam filem itu ialah dia perlu menghidupkan karakter yang tenang walaupun ketika berhadapan dengan masalah yang sukar.

“Mahu menunjukkan kemarahan dan kegembiraan itu senang tetapi apa yang perlu saya buat adalah menunjukkan kita takut kepada akhirat tetapi jangan tunjukkan kita takut dan jika kita berani tetapi jangan tunjuk berani,” jelasnya.

Aaron yang sedang berehat daripada penggambaran projek filem Endless Day arahan seorang pengarah dari Perancis berharap agar 2 Alam mampu mencapai sasarannya.

“Harapan saya supaya jangkaan Dr. Rozmey itu menjadi kenyataan. Sebelum ini Dr. Rozmey pernah meningkatkan sasaran kutipan filem itu daripada RM12 juta ke RM40 juta.

“Dr. Rozmey seorang usahawan dan kalau dia yakin dengan sasaran yang dibuatnya saya turut yakin,” katanya.

Suhaillah ingat mati

Jika Aaron dicabar untuk berlakon tanpa dialog, Suhaillah Salam pula menghadapi cabaran kerana diperlukan untuk berlakon sebagai jenazah.

Pengalaman itu boleh dikira agak menggerunkan. Namun bagi pelakon wanita Singapura itu yang membawa watak Adam dan Amy menerusi 2 Alam, pengalaman itu telah membuatkan dirinya sedar akan jangka hayat manusia yang tidak panjang.

Bagi Suhaillah, berlakon sebagai jenazah merupakan suatu pengalaman baru yang tidak mampu dia lupakan.

“Saya sering teringat nenek dan kawan-kawan yang telah meninggal dunia ketika berbaring di dalam keranda.

“Saya banyak berfikir dan muhasabah diri tentang mati. Mulanya, saya bimbang dan takut kalau tiba-tiba saya jadi tidak tentu arah ketika menjadi jenazah,” katanya.

Tambah Suhaillah lagi, segala kebimbangan itu berjaya diharunginya kerana watak yang dibawakan itu adalah salah satu cabaran dalam filem itu.

“Sewaktu saya mendapat skrip, saya sudah terbayangkan filem ini sebuah filem yang berat. Tetapi saya menyahut cabaran itu kerana peluang seperti ini tidak akan datang selalu.

“Sebagai persediaan sebelum membawa watak sebagai Adam, saya membaca skrip secara berulang-ulang. Ramai yang memberi tunjuk ajar kepada saya sepanjang penggambaran berlangsung,” ujarnya.

Ketika ditanya berkenaan sasaran Dr. Rozmey untuk filem itu yang mencecah RM40 juta, Suhaillah memberitahu , dia yakin dengan sasaran penerbitnya itu.

“Harapan saya pada 2 Alam adalah agar ia akan dapat memberi kesan yang positf seperti mana impaknya yang terkesan kepada saya,” katanya.

Sumber - Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...